counters

Pages

Tuesday, 18 November 2014

Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden


Alhamdulillah bersua lagi pada entri kali ini. Pada entri ini saya ingin berkongsi tentang teks dan makna dalam drama Melayu moden. Dalam sesebuah drama, teks dijadikan sebagai luahan perasaan (ekspresi rasa) oleh pengarang. Pengarang menjadikan teks sebagai medan meluahkan perasaan sedih, prihatin, gembira, bangga, marah dan lain-lain. Ekspresi rasa yang diluahkan oleh pengarang dalam sesebuah teks secara tidak langsung dapat menggambarkan pemikiran, falasafah dan pegangan yang dimiliki oleh pengarang tersebut. Dengan kata lain, teks drama juga dikatakan sebagai gambaran, ekspresi dan cerminan yang memaparkan makna dalam teks. 

Makna dalam sesebuah teks dapat dibahagikan kepada 3 iaitu :
  • deklaratif
  • imperatif
  • interogatif

Teks deklaratif memaparkan cerita straight to the point atau dengan kata lain mesej yang cuba disampaikan mudah difahami oleh pembaca dan mengemukakan jalan penyelesaian. Berbeza dengan deklaratif, teks imperatif pula memaparkan cerita yang benar-benar berlaku dalam masyarakat dan tidak mengemukakan jalan penyelesaian. Pengarang menggunakan simbol dan lambang untuk menggambarkan sesuatu secara tersurat. Keadaan ini memperlihatkan penyelesaian terhadap drama tersebut terpulang kepada khalayak membuat interpretasi dan tanggapan sendiri. Manakala teks interogatif mengetengahkan cerita dalam cerita, drama dalam drama, simbol dalam simbol dan sebagainya. Bentuk drama ini sangat menguji kefahaman pembaca untuk mentafsirkan drama tersebut. Kebiasaannya teks interogatif dianggap teks drama yang sangat berat dan menyampaikan makna tersurat dan tersirat kepada khalayak pembaca/penonton. 



Drama Lawyer Dahlan tergolong dalam drama berbentuk deklaratif kerana mesej yang disampaikan mudah difahami pembaca




Drama Si Bongkok Tanjung Puteri merupakan drama berbentuk imperatif. Pengarang menggunakan simbol dan peribahasa sebagai lambang dan gambaran terhadap sesuatu peristiwa. 




Drama ini dikategorikan sebagai teks interogatif kerana di dalamnya memaparkan teknik cerita dalam cerita yang memerlukan pemahaman tinggi dari pembaca. 


Setiap orang berbeza pilihan dan pandangan. Bagi saya lebih gemar dan suka dengan teks yang berbentuk imperatif kerana pengarang memaparkan cerita menggunakan simbol dan juga lambang yang boleh mencabar pemikiran khalayak. Secara tidak langsung khalayak dapat membuat interpretasi dan tanggapan serta membuat kesimpulan sendiri mengenai penyelesaian cerita. Dengan kata lain drama berbentuk imperatif menekankan makna di sebalik penceritaan (tersirat). Pilihan anda pula bagaimana?

No comments:

Post a Comment