Cerminan sesuatu budaya bangsa terserlah dalam karya yang dihasilkan. Karya yang dimaksudkan adalah dari genre novel kerana pengarang melakar, merakam dan membuat penafsiran terhadap realiti yang berlaku dalam kehidupan manusia atau sesebuah masyarakat. Secara tidak langsung pengarang menggambarkan sosiopolitik, sosioekonomi dan juga sosiobudaya dalam sesebuah masyarakat pada zaman karya tersebut dihasilkan. Harga Sebuah Maruah umpamanya karya Azizi Haji Abdullah memaparkan kisah hidup watak Cah dan penduduk kampung Kertau mempertahankan tanah sawah yang menjadi sumber pencarian dan nadi kehidupan mereka daripada pembangunan.
Pembangunan yang pesat telah melenyapkan tradisi bersawah yang diwarisi daripada nenek moyang walaupun mereka melakukan penentangan. Keadaan ini memperlihatkan berlakunya pertembungan antara tradisi dengan pemodenan dalam milieu masyarakat Melayu di Kampung Kertau. Jika dahulu, tanah sawah menjadi aset yang penting dan harus dipertahankan, namun pembangunan telah melenyapkan khazanah yang dipelihara oleh mereka. Oleh itu, sosioekonomi dapat ditanggapi oleh pembaca di mana masyarakat Melayu di Kertau menjalankan aktiviti penanaman padi sebagai sumber rezeki mereka dan budaya mereka berpegang kepada tradisi bukan kepada pemodenan.
Novel ini telah diadaptasi sebagai teater menggunakan judul yang sama anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
Novel-novel mutakhir terbahagi kepada dua iaitu novel serius dan novel popular. Jika dilihat novel serius lebih menekankan aspek cerminan budaya bangsa, manakala novel popular lebih kepada pengisian aspek-aspek percintaan remaja, cerita seram, skandal dan sebagainya. Dengan kata lain, novel popular lebih memenuhi kehendak pasaran atau untuk tujuan komersial berbanding novel serius.
Pada hemat saya, penghasilan novel yang mencerminkan budaya bangsa harus seiring dengan penghasilan novel popular. Penghasilan novel serius yang mengangkat budaya bangsa sedikit sebanyak dapat memberikan maklumat atau sejarah tentang kehidupan sesebuah masyarakat yang lalu sama ada dari segi sosiopolitik, sosioekonomi mahupun sosiobudaya.
No comments:
Post a Comment