counters

Pages

Friday, 5 December 2014

Liberalisme - Khalif Muammar

Tulisan Prof. Madya Khalif Muammar mengenai Liberalisme ini memperlihatkan beliau menolak liberalisme kerana mendatangkan kemudaratan kepada umat Islam. Golongan yang mengamalkan liberalisme dikenali sebagai liberal dilihat menerima sekularisme yang memisahkan kehidupan dengan ajaran agama. Keadaan ini amat bertentangan dengan cara hidup masyarakat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. 

Ajaran Islam amat menekankan konsep amar makruf nahi mungkar berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Al-Quran dijadikan pegangan atau sumber rujukan yang penting dalam kehidupan. Kedatangan Islam yang sempurna iaitu menerusi wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. menyebabkan agama Islam menolak prinsip kesamarataan dalam gender umpamanya dan menolak pegangan atau kepercayaan yang bertentangan dengan syariat Islam. Prinsip yang dipegang oleh golongan liberal ini boleh menyesatkan manusia dan memudaratkan umat Islam kerana agama sememangnya tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan. Apabila berlaku pemisahan antara agama dengan kehidupan, maka tercetuslah pelbagai aktiviti atau kegiatan yang menyeleweng dan tersasar jauh dari landasan agama Islam. Contohnya dapat dilihat hubungan lelaki dengan lelaki (gay) membawa kepada perkahwinan yang berlaku terhadap Ariff Alfian Rosli bersama pasangan sejenisnya.




Kesannya boleh merosakkan sistem kekeluargaan, akhlak dan moral serta kesucian agama Islam diperkotak-katikkan. Ceteknya pengetahuan tentang agama inilah membawa manusia ke jalan yang sesat dan terpesong jauh dari agama Islam yang sebenarnya. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika umat Islam menolak liberalisme dalam kehidupan kerana menyesatkan dan boleh memecahbelahkan masyarakat. Keadaan ini juga jelas termaktub di dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia (khalifah) di muka bumi.

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas"

(Surah Al-'Araf: 80-81)


Prinsip yang dipegang oleh golongan liberal ini tidak boleh dipandang remeh kerana boleh membawa kesesatan. Sebagai hamba Allah, haruslah kita kembali kepada ajaran Allah S.W.T. dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai rujukan utama atau pedoman dalam meniti liku-liku kehidupan. Hidup dengan mengamalkan konsep amar makruf nahi mungkar dan menjaga hubungan dengan Allah (habluminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas) dalam kehidupan menyebabkan kehidupan tidak terkeluar dari landasan dan syariat Islam. Ingatlah bahawa, penolakan terhadap ajaran yang dianjurkan oleh Allah boleh menyebabkan kekufuran. Oleh hal yang demikian, agama dan kehidupan tidak boleh dipisahkan sama sekali kerana menerusi agama cara hidup manusia adalah berlandaskan syariat Allah dan kehidupan yang dibina masih berdiri berdasarkan ajaran agama Islam. Keadaan ini jelas digambarkan menerusi ungkapan Islam sebagai ad-Din dan syumul kerana merangkumi seluruh aspek kehidupan. Dunia ini hanyalah pinjaman yang bersifat sementara dan persediaan untuk menuju ke akhirat yang kekal abadi. Jika tersesat, kembalilah ke jalan yang benar (syariat Islam) agar kehidupan yang sementara ini tidak disia-siakan.